Saturday 15 May 2010

PENJAGAAN KULIT UNTUK WANITA HAMIL

      Sebahagian wanita hamil bertuah apabila memiliki seri wajah sihat sepanjang tempoh kehamilan, tetapi majoriti mendapati kulit mereka tidak sebegitu. Kesan seperti regangan kulit akibat kehamilan, pigmentasi akibat perubahan hormon, ruam dan sebagainya membuatkan wanita hamil merasakan seolah-olah mereka kembali merasai masalah kulit seperti zaman remaja mereka. Dimana silapnya dan apakah yang boleh dilakukan untuk mengembalikan semula kesihatan dan keserian kulit?
     
Kesan Regangan Kulit Akibat Mengandung
      Kesan garis halus yang muncul di sekitar bahagian perut adalah akibat bahagian abdomen yang meregang bagi memberi ruang pada bayi dalam kandungan membesar terutama ketika trimester kedua dan ketiga. Selain itu ia juga disebabkan oleh perubahan hormon kehamilan membuatkan kulit mudah dipengaruhi oleh kesan regangan di samping faktor keturunan. Kebanyakan wanita hamil turut menambah berat badan menjadikan ia faktor tambahan mendapat kesan regangan. Wanita yang memiliki kulit yang cerah cenderung untuk mengalami masalah ini berbanding wanita yang memiliki kulit yang agak gelap.

Tona Kulit Tidak Sekata
      Sepanjang tempoh kehamilan, pengeluaran pigmen melanin secara berlebihan sering berlaku sehingga menyebabkan kesan pigmentasi muncul di bahagian wajah atau di bahagian lain pada tubuh. Kesan sebegini sama dengan kesan akibat kulit terdedah pada cahaya matahari secara keterlaluan, ekzema atau alahan ubat-ubatan. Biasanya, ia mengambil masa yang agak lama untuk hilang.

Kulit Kering dan Gatal
      Gatal-gatal merupakan simptom biasa ketika hamil kerana kulit dan otot meregang untuk memberi ruang kepada bayi dalam kandungan membesar. Masalah kulit kering juga boleh berlaku menyebbakan timbul bintik halus, ruam, pori-pori terbuka, termasuk juga beberapa keadaan seperti seborrhea (kesan kemerahan dan gatal pada bahagian kulit kepala dan hidung) atau keratosispilaris. Kulit juga kelihatan bengkak akibat kekurangan air atau pertambahan berat badan.

Kesan Parut Caesarean
      Kesan yang paling ketara selepas kehamilan adalah akibat parut pembedahan bagi mereka yang menjalani pembedahan secara Caesarean. Parut pembedahan biasanya elok dan kecil  berbanding sebelum ini, namun ia tetap meninggalkan kesan negatif terhadap tubuh badan wanita apatah lagi ketika mereka mula berusaha mencapai kembali berat badan ideal mereka.

No comments:

Post a Comment